
PETUNJUK WAHYU
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar." (At-Taubah: 111)
IMPIAN MEREKA YANG JUJUR IMANNYA
Masih wujud orang beriman yang benar dan berpegang teguh dengan iman mereka. Melaksanakan segala tuntutan dan memikul semua bebanan iman. Mereka seringkali berkhayalkan kegemilangan dan kemuliaan risalah yang dipikul oleh mereka. Impian ini berubah menjadi keyakinan apabila mereka berterusan membaca dan menghayati wahyu. Terdapat janji dan jaminan bahawa risalah ini pasti kembali memandu dunia berlandaskan prinsip rabbani. Tetapi mereka tersentak dari lamunan, apabila melihat realiti sekeliling. Terkedu melihat keadaan manusia yang mendakwa beriman, tetapi menghidapi pelbagai jenis penyakit yang berbahaya. Daripada cinta mereka terhadap dunia, sehinggalah ketakutan untuk mati.
JEJAK YANG WAJIB DISUSURI
Keyakinan terhadap kegemilangan Islam di hari esok membuatkan pendakwah tidak henti-henti menyelidik dan mengesktrak formula dakwah daripada salaf as-soleh. Mereka meneliti apakah ciri-ciri khusus yang menjadi keunikan generasi sahabat.
Hilangnya kecintaan terhadap dunia. Kefanaan dunia dan kekalnya akhirat. Inilah yang dibuktikan oleh seorang sahabat yang agung; Suhaib Ar-Rumy. Ketika Kafir Mekah memaksa beliau memberikan semua hartanya jika kepingin untuk hijrah, Suhaib memberikan semua hartanya tanpa teragak-agak. Keputusan yang bulat dan muktamad.
Sehinggakan nyawa adalah pinjaman dari Allah. Maka mengorbankannya di atas jalan Allah, adalah cita-cita seorang mujahid. Inilah yang menjadi kehairanan orang kafir. Mereka pelik melihat Khubaib bin 'Adi ketika disalib; untuk dihukum bunuh. "Mahukah engkau dilepaskan, dan Muhammad sebagai ganti?" tanya Quraisy. "Aku tidak mahukan sebarang kenikmatan, sedangkan Rasulullah terkena walau secucuk duri!" balas Khubaib.
Bebasnya mereka dari al-wahn, membuatkan jiwa mereka terbang bebas meninjau akhirat. Mengharapkan habuan dan kerehatan yang abadi. Mereka beriman dengan sebuah hadith seperti yang dilaporkan oleh Tarmizi: "Siapa yang terbunuh di jalan Allah, maka wajib baginya syurga."
SUNNATULLAH TIDAK PERNAH BERUBAH
Pendokong risalah pada mana-mana zaman dan nabi memiliki sifat yang sama. Semangat yang tidak pernah luntur dan cekal. Pengorbanan yang tidak mengenal lelah dan susah. Mendokong risalah dengan harta dan darah. Maka, generasi kini perlu membentuk saf yang memiliki ciri-ciri pendokong risalah sejati. Berpandukan wahyu dan warisan dari salaf as-soleh. Mencetak generasi rabbani yang mencintai akhirat lebih dari segalanya. Bermula dengan diri kita, keluarga dan masyarakat.
BULATNYA NEKAD
Itulah yang dimaksudkan dengan at-tajarrud. Satu kombinasi iman, rasa hati, amal dan cita-cita. Terpancar jelas dalam setiap tindak tanduk dan keputusan. Mereka yang dimuliakan dengan sifat ini, hanya hidup untuk risalah. Pada mereka, kemuliaan hidup adalah bermati-matian untuk menyambung perjuangan Rasulullah. Bagi mereka, syurga merupakan barang dagangan yang mahal. Mereka menuju redha. Mahukan keampunan. Adakah kita tergolong dikalangan mereka? Meletakkan dakwah sebagai nombor satu, setiap masa dan keadaan. Mengutamakan dakwah dalam setiap urusan.













